Persepsi guru terhadap keberkesanan Pendidikan Swasta di Malaysia.

Keberkesanan Home Tuition di Malaysia

Dunia pendidikan di negara kita semakin pantas berkembang sehingga tidak mampu diikuti oleh sesetengah pelajar. Kepantasan perkembangan sistem pendidkan di Malaysia ini turut diakui oleh ibu bapa.

Ramai ibu bapa yang merungut kerana tidak mampu membantu mengajar anak mereka dirumah kerana sukatan pelajaran  semakin tinggi. Oleh yang demikian, sabagai ibu bapa yang cakna dengan pendidikan anak-anak, mereka mula mencari alternatif bagi membantu anak-anak mereka untuk terus maju dan bersaing dalam mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

Memang tidak dapat dinafikan, sudah menjadi satu trend bagi ibu bapa zaman kini  menghantar anak-anak mereka ke Pendidikan Swasta bagi membantu mempersiapkan diri mereka ke arah peperiksaan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Pendidikan Swasta merupakan sekolah kedua untuk para pelajar hari ini. Hasil penyelidikan yang telah dijalankan oleh Revue internationale d’éducation de Sèvres  [Online], Education in Asia in (2014) mendedahkan bahawa Pendidikan Swasta selepas waktu sekolah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan dan meningkatkan pencapaian akademik pelajar.

Ulasan Jurnal

Ulasan jurnal ini dirujuk daripada Revue internationale d’éducation de Sèvres  [Online], Education in Asia in (2014) yang mengkaji mengenai pandangan guru terhadap keberkesanan Pendidikan Swasta di Malaysia.

Perbincangan dalam jurnal ini adalah untuk memberi gambaran yang jelas kepada masyarakat tentang kewujudan Pendidikan Swasta di Malaysia dan pandangan guru sekolah mengenai keberkesanan Pendidikan Swasta dalam membantu meningkatkan pencapaian pelajar masa kini.

Faktor kewujudan Pendidikan Swasta

Pengkaji juga telah membuat sorotan kajian terhadap beberapa pengkaji yang lain bagi melihat faktor yang medorong kewujudan Pendidikan Swasta di Malaysia. Hasil pembacaan, pengkaji mendapati bahawa terdapat beberapa faktor yang mendorong kewujudan pendidikan swasta di Malaysia.

Antaranya ialah saiz kelas. Jumlah pelajar di dalam sebuah kelas di sekolah juga turut mempengaruhi ibu bapa untuk mengambil Pendidikan Swasta. Hal ini kerana, disebabkan jumlah pelajar di kelas ramai, jadi menyukarkan guru untuk memberi tumpuan kepada semua pelajar di dalam sesebuah kelas.

Oleh itu, ramai ibu bapa percaya bahawa mereka tidak mempunyai pilihan lain selain mengambil Pendidikan Swasta sebagai salah satu inisiatif bagi membantu anak mereka supaya lebih memahami setiap topik yang diajar di sekolah.

Selain itu, tekanan terhadap peperiksaan, faktor budaya (tradisi confucius) dan kewujudan dasar afirmatif juga turut dinyatakan. Dalam arus kemodenan pada hari ini, tahap pendidikan pelajar juga turut mempengaruhi mereka untuk berdaya saing memasuki universiti tempatan.

Oleh yang demikian, kebanyakan ibu bapa sangat mengambil berat tentang pendidikan anak mereka dan merasakan anak mereka perlu mendapat keputusan yang cemerlang untuk setiap subjek di sekolah.

Kewujudan dasar afirmatif yang lebih mengutamakan kumpulan etnik bumiputera (Melayu dan Pribumi) dalam peluang pendidikan juga turut menyumbang kepada ibu bapa Cina dan India melabur lebih banyak dalam Pendidikan Swasta untuk memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam peperiksaan untuk masuk ke Universiti tempatan.

Tambahan pula, faktor budaya masyarakat cina dalam tradisi confucius yang sangat menekankan prestasi pembelajaran dan akademik telah melihat bahawa perbelanjaan untuk Pendidikan Swasta adalah sebagai satu pelaburan tambahan untuk kejayaan akademik anak-anak mereka.

Kaedah Kajian

Pengkaji telah mengedarkan borang kaji selidik kepada 2833 orang guru daripada 3 negeri di Malaysia iaitu kepada 220 orang guru daripada Negeri Perak, 2073 orang guru daripada Negeri Selangor dan 540 orang guru dari Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan maklum balas berkenaan dengan pandangan mereka terhadap keberkesanan Pendidikan Swasta di Malaysia.

Secara keseluruhannya, jurnal ini cuba memberitahu pembaca bahawa terdapat 5 jenis pendidikan swasta di Malaysia. Antaranya ialah (1) Pendidikan Swasta secara perseorangan atau Home Tuition(2) Pendidikan Swasta secara berkumpulan dalam skala kecil, (3) Pusat Tuisyen(4) Pendidikan Swasta dengan cara melihat “recording video dan (5) Pendidikan Swasta secara bersoal jawab dengan tutor di internet.

Hasil kajian mendapati bahawa majoriti guru bersetuju bahawa Pendidikan Swasta secara persendirian (Home Tuition) dan Pendidikan Swasta kecara berkumpulan (small group) sangat memberi impak dalam membantu pelajar cemerlang di dalam peperiksaan.

Selain itu, hasil kajian juga mendapati bahawa guru bersetuju bahawa Pendidikan Swasta di pusat tuisyen dapat membantu dalam meningkatkan skor peperiksaan pelajar, meningkatkan keupayaan pelajar, memberi pelajar tip-tips peperiksaan dan sering melakukan latih tubi mengikut format peperiksaan.

Guru juga bersetuju bahawa tutor swasta sering membantu membina keyakinan diri pelajar, membangunkan strategi pembelajaran, menggalakkan permikiran kritis pelajar, dan memberikan pelajar bahan pembelajaran yang mereka tidak dapat di sekolah.

Walaupun banyak kelebihan yang pelajar boleh dapat ketika belajar melalui Pendidikan Swasta, namun peranan guru di sekolah juga tidak boleh dinafikan. Guru sekolah merasakan bahawa mereka turut memberi sumbangan yang positif dalam pembelajaran pelajar di sekolah.

Mereka bersetuju bahawa mereka mampu menarik minat pelajar untuk belajar termasuk pelajar yang lemah dan tiada minat untuk belajar. Mereka juga mampu membuatkan pelajar untuk mengikuti arahan mereka. Guru sekolah juga sanggup menyediakan kelas tambahan untuk pelajar yang memerlukan bimbingan tambahan seperti pelajar yang lemah dan ada motivasi untuk belajar. Guru bersetuju bahawa pelajar mereka akan bertanya sekiranya ada soalan atau topik yang mereka tidak faham.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, hasil kajian ini menunjukkan bahawa walaupun majoriti pelajar mengambil Pendidikan Swasta selepas tamat waktu sekolah, namun tidak bermakna masyarakat tidak mempercayai kemampuan guru di sekolah.

Guru menganggap Pendidikan Swasta merupakan salah satu bonus untuk pelajar kerana dengan mengahadiri kelas Pendidikan Swasta secara tidak langsung pelajar akan dibimbing oleh tutor swasta  bagi menyelesaikan masalah dan kekaburan yang dihadapi oleh pelajar selepas tamat waktu persekolahan. Oleh yang demikian boleh dikatakan bahawa kewujudan Pendidikan Swasta banyak mendatangkan manfaat kepada pelajar.

Dapatkan Tutor Terbaik Untuk Anak Anda

Bacaan Lain

Dapatkan Tutor Terbaik Untuk Anak Anda.

Kelas membaca, UPSR, PT3, SPM, IGCSE.